Friday, July 15, 2011

Ceramah Akhir Zaman

Semalam ada ceramah “Keagungan Isra’ Mikraj”

Siap gantung banner kat pintu kolej lagi

Tampal flyers kat blok2 apartment

Bagus ni

aku ada terbaca pasal isra’ mikraj, memang menarik.

Jadi malam tu dengan berbesar hati pergi la ceramah tu

expect tak ramai… macam biasa la, bila ceramah bab akidah ke, sirah sket…lengang je..

Bab cinta, bab histeria (jin) je..ramai.

Tapi bila datang..eh? boleh tahan ramai..

Alhamdulillah..ada kemajuan.

Yang bagi ceramah tu ustaz jemputan.

Memula points dia memang best.

Memang segalanya berkaitan dengan Isra’ Mikraj.

Ingat nanti dia ada nak bercakap tentang iman para sahabat yang percaya pada apa yang diriwayatkan Rasulullah, sebagai menghidupkan hati kita, mencontohi para sahabat.

Macam ustaz tu cakap awal-awal lagi “banyak slide ni, saya rasa saya tak boleh habiskan

Rasa tu bukan masalah; mungkin ustaz tu akan lebih fokus pada bab akidah, tasawwuf berkaitan peristiwa isra’ mikraj berbanding dengan seluruh ceritanya…takpe2..

Akhirnya dalam 40+ slide yang ada, 2 atau 3 slide je yang dia present.

Bukan pasal tak present slide lain.

Tapi pasal selingan-selingan sepanjang ceramah.

Tak dinafikan, selingan tu memang banyak mengundang gelak tawa, sesuai lah ustaz memang pandai berjenaka.


Tiba pada “sebab peristiwa isra’ mikraj diturunkan termasuklah untuk menghiburkan hati Rasulullah yang duka (pada ketika itu tahun dukacita sempena dua orang yang Rasululah paling sayangi meninggal dunia; iaitu isteri nabi, Siti Khadijah dan bapa saudara baginda, Abu Talib)"

Ustaz tu pun memerincikan tentang “hiburan tu macam mana”

Hiburan sebenar mesti menghidupkan hati iaitu kembali pada Allah, bukan dengan bercinta, bermaksiat..hiburan begitu lebih merosakkan diri, tidak menyelesaikan masalah, menambah penyakit dan penderitaan dalam hati..

Betul tu, setuju, setuju.

Tiba-tiba bab hiburan dah nak sejam.

Termasuk cerita tentang kerenah budak2 (student), gejala dating mendating, gini gitu….

Students tak henti-henti gelak. Terhibur hati. Ustaz memang kelakar.

Aku pun ada rasa nak tergelak…senyum lebar2 je la....takyah sampai nampak gigi…hm…takpe…control…control…

Tunggu…tunggu…takpe, nanti dia sambung balik bab isra’ mikraj ni..

bila rasa-rasa macam nak give up je duduk dalam dewan tu...

Barulah ustaz tu menyambung, ‘tahun dukacita Rasulullah’ termasuklah tahun tu banyak tekanan dari orang kafir…

Lalu kaitkan dengan cerita tentang tekanan orang kafir zaman kini, agenda yahudi merosakkan umat islam sekarang, dengan hiburan, muzik…

ok ….

Kemudian sambung lagi cerita pasal gejala sosial….

Memang, topic panas, senang merangsang fikiran, maklumlah, …biar orang terhibur la kan..panas…kelakar

Takde ngantuk2.

Tapi kami dalam dua tiga orang memang ada nak terlentok

bukan ngantuk mendengar, ngantuk menunggu

jenuh…bila nak sambung balik isra’ mikraj ni….

Akhirnya ustaz tu cover balik “pasal tu lah, nak cegah perbuatan tu semua mesti dengan solat (untuk dikaitkan dengan sebab seterusnya isra’ mikraj diturunkan ialah : menerima perintah solat)

“solat mencegah perbuatan dosa…”

Baiklah.

Disusuli dengan beberapa selingan yang unnecessary lagi.

Dan berakhirlah.

* * *

Walaubagaimanapun, bersyukur pada Allah, Allah membuka hati kita untuk hadir ke situ pada malam itu. moga niat kita diterima Allah.

Dan pada ustaz, jazakalllah kerana sudi meluangkan masa berkongsi pengetahuan.

Ustaz tu pun nampak macam orang yang periang, open minded seumpamanya. Bagus la tu.Yang aku still ok dengan ustaz tu pasal ceramah dia tak ade unsur2 :

* menghukum orang,

* mengaibkan orang,

* membuat2 hukum sendiri,

* perjudis kejantinaan yang ketara,

* bajet bagus

…benda2 tu takde dalam ceramah dia. so ok lah tu. Not bad.

Balik je rumah, baca fadhail amal. Terawat akhirnya jiwa yang kering ni...

Kisah ni sebagai pengajaran untuk aku dan lain, terutamanya yang jadi speaker atau penyampai / penceramah, bila buat majlis ilmu, semoga Allah beri taufik pada kita untuk majlis ilmu itu berlalu dengan penuh manfaat setiap masa…tanpa kelalaian…

Semoga Allah memperbaiki kekurangan kita, mengampuni kita. Amin

Kurang-kuranglah buat lawak dalam majlis ilmu ye…banyak ketawa, gelap hati. : )


Alhamdulillah Ada Air….



Semalam kawan tanya “kau perasan tak sekarang selalu dahaga?

A’ah…tadi sekali minum aku boleh habiskan sampai 5 cawan kot…” aku jawab.

5 cawan sekali minum bagi seseorang seperti aku adalah luarbiasa. Pasal aku ni jenis sekali minum air takleh banyak sangat. Nak telan pun lambat. Kembung cepat. Pastu rancak je nak gi toilet. Jadi kurang minum, kuranglah ke toilet.

Paling selalu sekali minum secawan je.

2 cawan tu kira ok sangat.

3 cawan tu dah kira banyak dah.

4 cawan memang aku menggelembung; ni aku amalkan khas untuk sahur biasanya, sebagai persiapan menghadapi seharian tanpa makan minum.

Biasanya dalam sehari minum air kosong 2-3 kali. Kalau sekali minum secawan, sehari dapat 2 atau 3 cawan jelah. Bila abaikan sikit je, tu yang senang dapat ulser, bibir pecah, muka pucat la. Malas minum air. Kena.

Tetiba petang semalam 5 cawan sekali. Pagi semalam je sekali 3 cawan. So untuk pertama kali dalam hidup berjayalah aku sahut kempen kesihatan “minum sekurang-kurangnya 8 gelas sehari”. Yeay…..

Member yang menanya tadi pun menyambung

ko takyah cakap la…tadi bukak pose je aku minum seliter air kot….botol besar camni…mungkin pasal jerebu kot…kan sekarang diorang sibuk cakap pasal macam ada jerebu…

Teringat lak petang semalam aku singgah kedai, selak-selak kosmo jap. Free read ye. Maklumlah student life, menjimat. Dalam slot gambar2 ragam masyarakat ada satu gambar seorang budak kecik dimandikan oleh seorang wanita, dengan titlenya “seorang kanak-kanak dimandikan ibunya sebagai menghadapi kepanasan dari jerebu....dinasihatkan agar anda banyakkan minum air pada musim ini, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari…”

hmm..ye lah tu kot.. (jerebu tu)” hati aku berbisik.


* * *

Entah kenapa imaginasi ini tetiba datang di fikiranku, tatkala nak menghirup air cawan ke-9 untuk semalam:

Bayangkan kalau yang ditimpa pada kita bukan sekadar panas berjerebu, tapi kemarau.

Pada masa kita boleh minum lebih dari biasa, dan nak sangat lebih air, tapi bekalan air di sekeliling kurang dari biasa.

Dengan correlation difference yang amat besar, memang teramat tinggi lah tekanan tu.

Maka kita pun jadi lebih desperate dari biasa untuk dapat air.

Mulalah teringat setiap titisan-titisan air yang kita bazirkan selama ni. Air yang tak habis, air yang dibuang macam tu je, air yang bila shower, cuci tangan, cuci muka, ambik wuduk ke, kita menggatal bukak air besar-besar sampai membazir…best kan bayar bil air…

Dah la bukak besar-besar, pastu bila ada selingan, katakan tengah cuci tangan dan nak sabun tangan; time menyabun tak sentuh pun air tu, tapi takde pun nak tutup paip. Fikir “sekejap, takpe…”, masalahnya air yang mengalir selama ko tengah menyabun tu banyak. Terus je mengalir…. (pemerhatian terhadap ramai manusia – tapi aku tak cenggitu ok).

Waktu tu pun kita fikir, alangkah indahnya kalau air lebihan yang aku bazirkan tu aku dapat guna sekarang…

Begitu berharganya setiap titisan air itu.

Kerana desakan keadaan, kita harungi dengan badan yang makin melemah, lesu tak terhingga, bibir yang semakin pecah, ulser, perut masuk angin, pening kepala migrain seumpamanya (lain orang lain gejalanya).

* * *


Gembira pula hati bila menutup imaginasi tadi, melihat semula realiti, bekalan air masih di paras normal, tiada kemarau, tiada kekeringan air. Walaupun cuaca panas, lebih dahaga dari biasa, kita masih boleh dapat air lebih dari keperluan. Di samping tu aku yang camni pun tetiba mampu pulak minum air banyak macam ni. Subhanallah. Nikmat nih….nikmat ….

Dengan kurang je air, kurang la tenaga asas, kuranglah segala keberdayaupayaan kita… tak kisahlah kita student pandai ke, atlet bertenaga ke, berkarier besar, banyak harta, berkuasa, ramai pengikut, cantik / hensem ke……..semuanya tak bernilai dengan hanya ketiadaan air..

Subhanallah.

Siapalah kita nak menyombong pada Allah, sedangkan kita mampu ditumpaskan hanya dengan tiada air untuk menghilangkan dahaga?

Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?"

Surah Al-Mulk ayat 30 (ayat terakhir )

…sampai kita berani mengaku setiap kelebihan kita datang dari diri sendiri lalu ‘berhak’ untuk tidak menerima kebenaran dari Allah, rasa ‘berhak’ nak pandang hina pada orang lain, kononnya kita ‘lebih’…..

Sedangkan setiap sesuatu itu datang dari Allah?

Setiap nikmat itu datang dari Allah.

Siapa kita nak mendustakannya?

Dia berkuasa memberi dan menarik sesuatu nikmat itu dalam sekelip mata sahaja.

Siapalah kita nak mendustakan Allah, sehingga rasa kita ‘berhak’ melanggari perintahNya?


Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. (19)

Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya. (20)

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan? (21)

Surah Ar-Rahman: 19-21

Saturday, July 9, 2011

Cepatnya Masa Berlalu…


Rasa macam sabtu baru semalam, sekarang ni dah sabtu balik. Dulu kitorang pernah bual pasal masa apasal la cepat sangat bergerak. Aku main cakap je “dunia nak kiamat”, ntah serious ke tak, tapi benda betul tu. cikgu tusyen menempis “tak…ni pasal kita dah semakin dewasa, banyak buat kerja, rasa masa tu cepat…”. Cakap benda sama depan mak aku, dia pun kata “ala, banyak buat kerja, memang tak sedar masa berlalu…

Cuti sem 2 minggu aku habiskan kat apartment kolej, bukan lari dari rumah family, tapi ada kerja nak siapkan. 2 minggu pun hampir berlalu, kerja tu macam la sangat aku buat. Last-last tak buat kan, kecuali satu task. Sangat lah unproductive cuti sem aku. penganggur sepenuh masa. Berbulan madu takyah dibebel mak aku. Honeymoon di rumah bersama housemates je eh…takdenye couple couple. Tanpa klas, tanpa assignment, tanpa vacation, tanpa lepak2, tanpa gosip (ni pun nak masukkan gak ke), tanpa apa-apa kesibukan tup-tup dah 2 minggu. Rasa macam baru 4 hari. Tadi baru je pukul 8, tetiba dah 11. lepas tu gerak sana sini jap dah pukul 12. tadi baru je 1pm, sekarang dah nak pukul 3.

So siapa kata ni semua masalah banyak kerja sampai tak rasa masa. Aku yang ntahape aku buat pun merasai kepantasannya; memang terbukti la bahawa memang masa itu yang berlari laju. (ditambah dengan kelembab-an aku ni, tersangatlah ketara).

Hari tu ada jumpa member yang rasa macam takde lah lama sangat tak jumpa. dulu dia belum kahwin, sekarang dah anak sorang.

time abang aku nak gi jenjalan kat u.k., vacation beberapa minggu, punyalah kitorang teman dia ke airport bagai. hari demi hari, sedar tak sedar, eh tetiba nampak dia kat rumah. back to malaysie ye?

Bila organize kenduri kahwin sorang ahli keluarga ni (abang aku le), punyalah family aku sibuk meriah organize, urus itu ini, waktu wedding bagai di alam fantasi. dalam beberapa jam, wedding habis, rasa macam..eh, ada wedding ke tadi?

Lagi best bile gi wedding orang. tak kisahlah la kat ballroom ke, hotel lapan bintang ke (tak,tak penah pegi pun yang ni). biar mewah macam mana pun, meriah camne pun, konsep unik ape benda, pergi sana rasa macam duk rumah makan keropok je. datang, makan, balik. bila dah selesai "eh, tu je? what?"

Memang betul la dunia nak kiamat…ni dah tanda kecil ni.

Di antara tanda-tanda kiamat ialah pantasnya masa bergerak, sehari bagai sejam, seminggu bagai sehari, sebulan seperti seminggu, setahun seperti sebulan


Subhanallah.

Friday, July 8, 2011

Tell Me Who's Crazy

They said we are crazy
Because we believe on something we can’t see

I can see your beautiful eyes,
But I can’t see your sight.
I can see your ears,
But I can’t see your hearing.
I can see your nose,
But I can’t see your breath.
If to cut through;
I can see your throat,
But I can never find your voice.
I can see your brain,
But I can never find your mind.

I can see your liver, lungs and heart,
But I can’t see your feelings.

I can see your physique,
But I can’t see your soul.

Even though I can’t see those on you,
I still believe they exist in you.


They said we are crazy,
Because we believe on something we can’t see

Now tell me if I’m crazy.


Hideossle


Wednesday, July 6, 2011

Kehilangan....Sebuah Kisah Aku


Kehilangan itu…sesuatu yang sukar dihadapi. Sesuatu yang tidak dijangka, berlaku tiba-tiba. Betapa hati ingin masa diputar semula untuk membuat sedikit perbezaan, mengharap musibah itu tidak pernah terjadi. Namun itulah dia takdir. Betapa manusia ini jahil, tidak mampu tahu setiap perkara di atas muka bumi. Betapa lemahnya kita, tidak mampu menetapkan apa yang berlaku.



Hari ini, genap 2 hari aku kehilangan anak kucing kesayangan yang dibela bersama teman serumah. Bobo namanya. Setelah melalui hari-hari menjaga, meluangkan masa bersama seperti ahli keluarga, kehilangannnya cukup terasa.




* * *
Sejak 2 hari sebelum hari ia hilang, aku mula lepaskan anak kucing di luar seketika, selama 1 jam semuanya baik; dengan aku selang beberapa kali menyelak pintu menjenguk keadaan mereka sepanjang itu.

Hari tu pun bukan aku mahu lepaskan keluar, tapi pagi-pagi lagi, Putih, seekor lagi anak kucing yang rapat dengan Bobo, tak henti-henti bising walau dah diberi makan minum; menyebabkan aku lepaskan Putih keluar, baru diam.

Masalahnya jika tinggal Bobo, Putih akan bising di luar dan Bobo akan bising di dalam memanggil satu sama lain. Jadi aku lepaskanlah kedua-duanya.

Setelah itu aku bergegas ke tandas. Keluar tandas, terdengar suara Putih dari luar rumah tak henti-henti bising malah lain macam bunyinya. Perasaanku tahu sesuatu telah terjadi, kerana Putih dan Bobo begitu erat sekali, pantang dipisah, pasti akan timbul bunyi itu.

Cepat-cepat aku buka pintu, kelihatan Putih rasa terganggu. Aku mencari-cari di mana Bobo, tak kelihatan di kawasan tangga apartmen, longkang, mahupun yang berdekatan.

Aku tahu, Bobo takkan pergi jauh. Nak katakan orang ambik, waktu tu dalam pukul 7-8 pagi, memang selalunya tak ada orang. Kalau tak, tak mungkin aku berani lepaskan.


* * *

Aku cari hingga ke beberapa blok, ke semua kawasan Bobo mungkin berlegar, di kawasan tangga hingga tingkat atas sekali (5) dan kelibatnya tak kelihatan.

Aku tanya seorang jiran yang terdekat, dia kata tak nampak. Segan nak tanya jiran lain memandangkan waktu awal pagi, masing-masing ada kesibukan, ramai juga masih tidur.

Aku memanggil-manggil Bobo, tiada sikit pun respon. Putih yang ketika itu masih bising; suaranya begitu nyaring mampu didengari sehingga ke beberapa tembok dan Bobo akan sentiasa sahut panggilannya kembali pun, tapi tidak kedengaran, apatah lagi bila aku yang panggil.

Pulang ke rumah, rakan serumah baru bangun tidur, aku terus beritahu tentang kehilangan Bobo. Rakan serumah ku itu tuan asal Bobo. Dia yang dulunya jumpa Bobo yang ketika itu masih kecil, di tepi jalan sebatang kara menagih simpati; dialah yang ambil Bobo untuk dibela.

Dengar saja berita tu, cepat-cepat dia keluar mencari Bobo, aku pun sambung cari, cuba mengetuk beberapa pintu rumah orang yang aku mungkin kenal dalam blok sama, namun tiada jawapan. Bergenang air mata rakanku mengharapkan Bobo kembali. Namun hakikat perlu diterima, Bobo sudah hilang.

* * *

Perasaan sedih campur bersalah berbaur dalam hati. Memang selama ni aku bantu rakan serumahku jaga Bobo, memandikannya, membersihkan kandangnya, menyediakan makan minumnya dengan teratur seperti kucing aku sendiri;

malah dia sendiri berharap aku boleh bawa Bobo balik ke rumahku setelah kami tiada di sini lagi memandangkan rumahnya jauh di Perak dan tak ada kereta untuk pulang ke kampung; namun hatiku berbisik andai dia akan terus menyalahkanku atas apa yang terjadi.

Tapi peristiwa itu bukan kehendakku, aku takkan melepaskan kalau bukan atas desakan keadaan; malah aku takkan lepaskan Bobo tanpa memerhati kalau bukan kerana kenal sifat Bobo takkan pergi jauh, waktu yang biasanya tiada orang dan keadaan yang selamat.

* * *
Berbagai-bagai cara aku cari bagaimana nak cari kucing yang hilang, mencari-cari artikel yang berkenaan, mencari-cari amalan doa dan zikir dalam memohon mendapatkan kembali sesuatu yang hilang, barang yang hilang dan seumpamanya.

Aku menanya sesiapa jika mereka boleh membantu, hanya mampu berbuat amal seperti yang sepatutnya; doa dan zikir, sambil setiap pagi atau bila ada kesempatan aku mencari Bobo.

Menurut seorang kawan yang boleh ramal punca kehilangan melalui tarikh hilang (ikut kalender islam), dia kata Bobo diambil orang. Menurut seorang ibu pada rakan, Bobo diambil seseorang yang putih kulitnya. Tarikh Bobo hilang adalah 3 Sha’ban 1432, Isnin. (4 Julai 2011). Entahlah, namun Allah Maha Mengetahui.

* * *

Hingga hari ini, jiwa resah mengenangkannya. Keadaan rumah yang dulunya rasa begitu bahagia sekali bila pulang, kini berbeza; lebih menyedihkan Putih tak henti-henti bising mencari Bobo yang hakikatnya sudah tiada, buat aku tak dapat berlama-lama di rumah kerana terasa begitu sedih.

Apakah masih ada harapan mendapat Bobo kembali? Apakah Bobo akan terus menghilang seperti 2 ekor kucing ku dulu; Soya dan Stella yang tak pernah ditemui setelah dicuri dari tempat yang sama?

Tak sangka ‘puaka pencuri kucing’ di apartmen kami masih tiada akhirnya. Jika lebih kurang 10 bulan dulu, Soya hilang setelah beberapa jam di luar dan Stella pula setelah hanya ½ - 1 jam pada waktu petang yang kebiasaanya memang ada orang, Bobo hilang hanya dalam 10 minit di luar pada waktu awal pagi!

Setakat ni Putih masih ada biarpun dilepas keluar setengah hari. Mungkin kerana sifatnya yang memilih makan hingga badannya kurus, bising yang terlalu kuat hingga ganggu ketenteraman; menjadi sebab dia tidak menarik untuk diambil, atau saiznya yang kecil boleh menyelit ke bawah pagar besi yang memagari meter-meter elektrik untuk elak dari diambil orang...

… berbanding Bobo yang badannya sihat bugar, bulunya yang gebu, wajahnya yang comel, tingkahnya yang ceria menghiburkan hati, tidak bising, dan sifatnya yang bahagia dengan apa yang ada…?

* * *

Aku menanam yakin pada Allah bahawa ini semua ketentuanNya, takdir yang tertulis takkan dapat dielak walau sesaat pun. Dia berkuasa berbuat apa yang Dia kehendaki.

Bayangkan, Bobo hilang tanpa dijangka, dalam keadaan aku yakin selamat, tapi dalam 10 minit saja semua berlaku.

Betapa lemahnya aku wahai Allah, sesungguhnya Kau yang Maha Mengetahui. Tidak sehelai daun pun gugur ke bumi melainkan Engkau mengetahuinya. Kau yang menentukan segala sesuatu.

Dengan musibah ini juga dapat membangkitkan aku dari kelalaian mengingati Allah setelah berhari-hari aku sibuk dengan angan-angan, perkara sia-sia; kini mampu menjauhi itu dengan lebih kerap, mendekatkan diri pada amalan-amalan sunat, zikir, doa...

…samaada dapat Bobo kembali atau tidak, semoga Allah mengurniakan kelapangan dada dan ketenangan kepada kami…dan semoga Allah mengurniakan keselamatan yang sempurna kepada kucing kami itu… sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNyalah kita akan kembali...





















In Memory of Bobo...


























... ?























# UPDATE #

Hari yang sama, lebih kurang 3 jam kemudian
(Rabu, Julai 06, 2011. 5.30 pm)

Hari ni rancang nak luang lebih masa di perpustakaan kolej. Lepas post blog, nak siapkan assignment dan keluar dari library 6 p.m., terus ke Pasar Rabu kemudian baru pulang ke apartment.

Tapi kerana mata mula berair mengantuk tak terkawal memandangkan kebiasaan dah berapa minggu tak tidur malam, bila pagi dah berjaya tak tidur, tengahari pun tak tidur, penangannya kuat di petang hari. Jadi 5 p.m. aku gerak balik apartment. “Dapat tidur sejam pun jadilah”.

Bila terlihat rumah dari jauh alangkah kosongnya rasa tanpa Bobo. Setibanya di blok, teringat Bobo, mata dengan refleks mencarinya. Tak mengharap langsung Bobo di situ, malah lagi rasa Bobo tak ada. Hati tetap mencari sebagai usaha tanpa henti.

Tiba-tiba terlihat dalam longkang kecil yang kering kelibat seekor kucing berwarna hitam pada badan hingga ke ekor, mukanya tak menghadap aku… dengan penuh tanda tanya “hitam, hitam, apakah…”, aku menghampiri kelibat kucing hitam itu…. “Bobo ke? takkan…” sekadar menyebut tanpa makna, masih tertanya-tanya tanpa harapan … dan bila aku menghampiri dekat maka itulah dia......... Bobo...! ... ada petanda aku balik awal hari ni.

* * *

Memang sebelum ni hampir pasti yang aku sudah kehilangannya sampai menulis di blog. Tapi tak disangka sebagaimana aku kehilangan Bobo, sebegitulah aku temuinya kembali. Di longkang kali terakhir aku lihat dia, itulah tempat aku jumpa dia.

Tiada orang lain di situ, hanya Bobo ditemani 2 ekor kucing dewasa luar yang selalu berlegar di kawasan blok kami. Bobo ketakutan bila aku mendekatinya; tak berapa cam aku.

Aku tangkap Bobo perlahan-lahan sambil panggil namanya, mengangkat dalam pelukan dan senyap-senyap, cepat-cepat capai kunci buka pintu rumah; bimbang orang yang curi Bobo tu berniat tinggalkan dia sekejap dan akan datang ambil balik lalu buat kecoh menyatakan tu kucing dia walhal bukan. Mana la tau

Aku masuk ke rumah dengan gembira “dah jumpa Bobo!”. Betapa gembiranya temanku lalu meluru keluar dari bilik menyambut Bobo. Aku tanya mana Putih, “tu...”, dia menunjuk; Putih tengah makan. Lega, keduanya ada.

Keadaan Bobo lebih kurus, badannya kotor dan tak terurus namun Alhamdulillah sihat dan selamat. Aku tak jadi tidur, mengantuk tak terasa pasal gembira, lepas tu terus nak update blog, kemudian keluar ke Pasar dengan teman serumah.

* * *

Sukar dipercayai. Kehilangan Bobo dan kemunculannya dalam keadaan tak disangka mengajar seribu erti. Sebagai manusia sering kita fikir mampu berbuat segala dengan kudrat sendiri, akhirnya menyedari keterbatasan diri.

Sebijak-bijak manusia, setinggi mana pun tahap pelajarannya, sebanyak mana ilmu diketahui; cukup sekadar sesuatu berlaku di sebalik hijab (dinding) yang menghalang kita dari melihat dengan mata kasar, maka dah tak mampu lagi kita tahu apa yang berlaku.

Kalau nak ikutkan, setiap perkara yang kita tahu hatta nak suapkan makanan ke mulut sendiri pun; itu semua takkan diketahui kalau bukan kerana izin Allah.

Dengan menyedari keterbatasan ini, disusuli tunduk memohon padaNya, usaha untuk yakin bahawa semua atas kekuasaanNya dan bukan di tangan kita semata-mata, barulah ditunjukkan jalan.

* * *

Sepanjang berdoa dan memohon pun tidaklah sewenangnya memikir akan dapat kembali apa yang hilang, melainkan mesti belajar sabar untuk redha atas kehilangan dan penuh tawakkal menanti tanpa mengira apa yang akan terjadi.

Amalan tetap mesti diteruskan, hati mesti sentiasa yakin pada Allah, bersedia menghadapi kemungkinan andai tidak dapat apa yang dipinta, sambil sentiasa yakin akan ganjaran di akhirat, malah di dunia lagi pun akan diganjari lebih baik, insyaAllah.

Ini berbeza sewaktu kehilangan Soya dan Stella dulu. Tanpa sabar, tanpa doa, hanya air mata mengalir meratapi takdir dan selalu memendam marah pada orang yang mencuri, sering mengharap masa diputar kembali dan selalu menjangka kalau akan nampak mereka kembali; sifat sebegini menggagalkan aku dari mendapat apa yang hilang. Jika buat cara sepatutnya pun belum tentu akan dapat, dengan cara begini apatah lagi.

* * *

Namun teringat, setelah mula menerima kehilangan Soya & Stella, rumahku lebih kerap didatangi seekor kucing yang ku beri namanya Bell; seekor kucing siam berwarna putih campuran coklat. Jika Soya kucing siam yang lebih kepada putih, Stella kucing berbelang berwarna coklat, Bell ibarat campuran kedua dari mereka dan bersaiz besar sikit dengan kedewasaanya.

Awalnya aku tak berani ambil Bell kerana tag pink berloceng di lehernya membuatku fikir Bell peliharaan orang. Namun Bell tetap selalu ke rumahku malah suka duduk di dalam, seperti layaknya kucing peninggalan yang tak bertuan lagi.

Bell itulah kucing terbaik, sifatnya tak ubah seperti Nami, kucing siam yang pernah ku bela lebih kurang 10 tahun dulu; seperti seorang manusia yang mulia dan memahami, tidak menggangu, sentiasa diam dan ada keunikan tersendiri.

Walau tak lama kemudian aku kehilangan Bell dengan kematiannya, namun kesedihan berganti redha; setidaknya tahu dia di tempat yang lebih baik dan bukannya hilang entah ke mana bimbang dianiaya.

* * *

Kisah ini bukan sebagai menambah kesedihan orang yang tidak menjumpai kucing / haiwan kesayangan atau perkara lain yang mereka hilang. Aku juga pernah gagal menemui kehilangan suatu ketika dahulu. Kisah ini sebagai harapan; dengan redha, usaha, doa dan tawakkal yang berterusan, menambah kemungkinan dapat bertemu kembali, kalau tak bertemu pun hati menjadi lebih tenang dengan ketentuan ilahi.

* * *

Kuasa Allah. Segalanya adalah milik Dia. Dia berkuasa memberi apa yang Dia kehendaki dan berkuasa mengambilnya kembali. Dia yang meletakkan setiap sesuatu itu pada tempatnya, waktunya, maka terjadilah sesuatu itu; bahawa Allah sudah menetapkan preposition setiap sesuatu..

Seperti kata orang jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan maka tidak apa yang diragui. Bukan sekadar jodoh pasangan hidup, malah apa sahaja perkara, sesiapa sahaja; semuanya dalam kadar; bila kita ditemukan dengan perkara itu, apa jenis kaitan kita dengannya, selama mana kita bersamanya, sejauh mana hubungkait kita bersamanya dan bila kita akan terpisah dengannya.

Bukan kita tidak perlu berusaha, usaha diperlukan sebahagian dari asbab, tapi pada masa yang sama akuilah kekuasan Allah mentakdirkan segala sesuatu.






TAMAT









Sunday, December 12, 2010

Terkilan Beri Peluang



di petang yang indah ni, jadi tak indah pasal terkilan bagi peluang pada orang yang sepatutnya boleh dah tak dilayan. Dari pemerhatian boleh dianggarkan, dah bagus dah cara dia berhentikan perbualan (atau perselisihan?), kira 0-0, dah tu jangan cakap dengan dia lagi, bimbang akan timbul perselisihan lagi. tapi bila cuba fikir baik, cuba ikut rasa hati mana tau, nampak macam dia dah ok, boleh bawak berbincang, rasional, aku pun sambung perbualan, konon yang lepas tu lepas, sekarang masuk cerita lain, rupanya dia masih tak henti-henti nak naya orang, balik kepada cerita lama, cuba menegakkan benang yang basah. Tak sangka topik kecil ‘baru’ yang aku timbulkan tu sebenarnya lebih membuatkan dia untuk meneliti insiden lepas, dalam cara yang masih tak nak kalah, tak nak seri, mesti menang. Mungkin kerana topik kecil je yang baru, tapi masih dalam topik besar yang sama. Pasal tu dia masih nak rebut peluang menangkan diri sendiri. Selagi ada, selagi tu lah. Bak kata satu pepatah, mungkin bukan pepatah Melayu, gunung mungkin berubah tapi manusia tidak. Kenapalah aku beri peluang, kenapa aku fikir baik sangat. Menyesal. Terkilan. Eksplorasi sesebuah bidang pemikiran manusia itu memerlukan banyak kekuatan emosi. Semoga jadi pengajaran untuk aku.

Sejauh Manakah Taubat


“aku dah pernah enjoy dah sume tuh…”, kata Zack yang kini seorang yang sudah berhenti dari melakukan maksiat.

“mak dulu dah puas rasa baju macam tu…” kata Tini yang kini seorang yang menjaga auratnya.

“zaman muda-muda dulu, zaman enjoy, sekarang tak lagi…” kata Lisa yang kini tekun menjadi seorang wanita solehah.

*nama-nama di atas hanya sekadar contoh, tiada kaitan dengan yang hidup mahupun mati

Ketiga-tiga mereka mempunyai ciri-ciri orang bertaubat, telah berhenti dari melakukan maksiat dan berbuat amal soleh.

Baguslah, tapi pernahkah terfikir impak di sebalik kata-kata mereka?

Zack mengatakan “aku pernah enjoy” dengan bangganya.
Tini mengatakan “puas rasa baju tu dulu” dengan gembiranya
Lisa mengatakan “zaman muda zaman enjoy” dengan falsafahnya.

*nama-nama di atas hanya sekadar contoh, tiada kaitan dengan yang hidup mahupun mati

TAUBAT TAPI BANGGA DENGAN DOSA SILAM

Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْأَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْيُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla."

[Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak,hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

{Pengecualiannya apabila aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor atau ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.}

berbalik kepada cerita di atas, mereka sudah berhenti dari melakukan maksiat, tapi secara tidak langsung mempromosikan perbuatan maksiat sebagai sesuatu yang bagus, memuaskan dan sesuai dengan peredaran usia (muda) walhal ianya tidak sama sekali!

Orang yang bermujahadah mentaati Allah dari awal, terutamanya dalam alam remaja yang penuh godaan, boleh rasa rendah diri dengar kata-kata itu, kononnya amal soleh tak sesuai dengan usia mereka lalu anggap beramal pada usia muda adalah siksaan dan “kalau buat jahat pun, boleh taubat satu hari nanti”

Orang yang sedang hidup dalam maksiat pula boleh rasa selesa mendengar kata-kata itu, fikir mereka bebas untuk terus berbuat maksiat, beranggapan dapat bertaubat suatu hari nanti “bila hidayah dah datang”

dikhuatiri apa yang disangkakan sebagai “niat taubat” itu sebenarnya sedang selesa menangguh-nangguhkan taubat, bimbang keselesaan menangguh tu berterusan, hati jadi makin liat, makin susah nak taubat, naudzubillah sampai mati tak terbuat.



SEMPURNAKAH TAUBAT

Jika anda pernah mengalami sesuatu yang bagus, anda akan menceritakan perkara itu dengan puas.

Tetapi jika anda pernah tertipu atau mengalami sesuatu yang buruk, apakah wajar menceritakan dengan gembira? Bahkan, boleh menangis kekecewaan bila terfikir peristiwa itu!


Syarat-syarat taubat termasuklah

1. Meninggalkan dosa tersebut.
Ibnul-Qoyyim berkata: ”Taubat mustahil terjadi bila dosa tetap dilakukan”.

2. Menyesal atas perbuatannya. Rasulullah bersabda:
”Menyesal adalah taubat”.

3. Berazam untuk tidak mengulangi lagi.
Ibnu Mas’ud berkata: ”Taubat yang benar adalah: Taubat dari kesalahan yang tidak akan diulangi kembali, bagaikan mustahilnya air susu kembali pada kantung susunya lagi.”

4. Dilakukan sebelum sakaratul maut atau sebelum matahari terbit dari barat.

5. Jika dosa berkaitan dengan sesama manusia, maka perlu menunaikan hak orang tersebut, memohon kemaafannya atau memperbanyak amal kebaikan.


Taubat itu menyucikan diri. Tapi kalau kita ingat maksiat silam dengan perasaan bangga, puas, bukankah kita rasa ia bagus dan ‘sepatutnya’ terjadi? Sudah sempurnakah taubat kita sedangkan salah satu syarat taubat adalah penyesalan?

Nabi s.a.w ada memberi ingatan :-

كل أمتيمعافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقدستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبحيكشف ستر الله عليه


Ertinya: Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya),ada di kalangan yang mendedahkan ini , melakukan suatu dosa di waktu malam,berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini"maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang(sebelum ini) menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


orang yang sebenarnya bertaubat memandang maksiat yang pernah dilakukan sebagai dosa dan bukan nikmat, aib dan bukan kebanggaan, sesuatu untuk disesali, merasa tertipu dengan perhiasan dunia sebagaimana pembeli merasa tipu dalam penipuan jual-beli.

Jika itulah cara memandang dosa silam, insyaAllah dia akan mengelak dari menceritakan maksiat silam kepada orang, bukan kerana hipokrit, tapi sebahagian dari usaha memperbaiki diri iaitu membersihkan aib &dosa dan tak ingin orang lain terikut sama. Kalau diceritakan pun, mungkin apabila perlu, itupun dengan dukacita sebagai pengajaran, mengharapkan orang lain tak masuk jerat yang sama.


Seperti halnya jika Zack mengatakan sesuatu seperti

“aku malu kerana terlibat dengan semua tu satu ketika dahulu”

Tini pula mengatakan

“aku tak ingin ingat diriku dalam pakaian-pakaian sebegitu”

Lisa pula mengatakan

“alangkah lebih baik kalau aku tak buang masa dulu dengan benda-benda macam tu”


…dan menyatakan hal itu tulus dari hati, bukan menyalahkan takdir, tapi ingin menebus apa yang berlaku dengan terus-menerus memohon keampunan dan membuat lebih banyak lagi kebaikan.

*nama-nama di atas hanya sekadar contoh, tiada kaitan dengan yang hidup mahupun mati

InsyaAllah jika itu keadaannya, anak-anak yang mendengar ucapan begitu dari kecil terdidik dengan hakikat bahawa perkara itu buruk dan sepatutnya dijauhi dari peringkat awal lagi.


CONTOH

#1

Menurut pengalaman sendiri, begitu sukar nak qada’ kembali solat yang pernah ditinggalkan bertahun dulu, liat sangat, macamlah nak qada solat tu patah riuk tulang. Tapi bila berusaha pandang dalam-dalam perbuatan meninggalkan solat sebagai sesuatu yang tercela kerana tidak taat perintah Allah (“betapa tergamaknya dulu aku tinggalkan solat”), dapatlah timbul rasa sedar, kemudian malu, kemudian rasa bersalah dan serta merta dapat qada solat setelah berbulan-bulan hanya menjaga solat fardhu tanpa ‘membayar hutang’ solat yang ditinggalkan zaman dulu.

#2

Saudaraku yang pernah melalui alam ‘enjoy’ dan kini berubah, bila melihat kecenderunganku (beberapa tahun lepas) yang ingin buat apa dia pernah buat, dengan sepenuh hati mengatakan dia menyesal, malu, rasa bodoh dan sia-sia dengan zaman ‘enjoy’ dulu dan berharap alangkah baiknya jika masa mudanya tidak dibazirkan begitu. Dia kata contoh buruk dari keluarga sepatutnya jadi pengajaran untuk kebaikan diriku, bukan sebagai sebab untuk aku terikut-ikut. Dia juga mengibaratkan perjalanan hidupnya “macam memandu, bila dah masuk jalan salah, nak patah balik tu ambil jalan yang lagi panjang, lagi penat nak sampai tujuan. kalaulah dari awal dah lalu jalan yang betul, insyaAllah lebih mudah dan cepat nak sampai” -dengan berkata demikian, itu memberi galakan kepadaku untuk jangan terlibat dengan keburukan itu dalam usia remaja dan Alhamdulillah, kini perjalananku ke arah mentaati perintah Allah dapat lebih dipermudahkan.


TAK READY LAGI, NAK TUNGGU HIDAYAH

Seringkali kita mendengar kata-kata


Aku belum ada kekuatan lagi. Nak tunggu hidayah sampai, baru ada kekuatan, lepas tu baru boleh bertaubat.


Ingatlah. Kekuatan tidak boleh ditunggu, tapi perlu dibina. Memanglah ianya atas taufik hidayah Allah, tapi pada masa yang sama Allah tidak akan mengubah keadaan seseorang sehinga dia mengubah keadaannya sendiri. Petikan dari surah Ar-Ra’d ayat 11 (13:11): "......Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri......"

Panggilan Allah itu ada. Buktinya, kita masih hidup dan dunia belum kiamat. Ayat al-Quran masih ada di muka bumi ini. Masih ada tempat untuk dengar ilmu agama, samaada rasmi atau tidak rasmi. Pengalaman hidup, terutamanya yang melemahkan diri, banyak menunjukkan kita perlu kembali padaNya. Hakikatnya, hidayah Allah boleh sampai, jadi berusahalah. Lagi kita menangguh taubat, sepertinya panggilan Allah supaya kita bertaubat datang satu-persatu tapi tak pernah kita hiraukan. Bimbang nanti hidayah Allah tarik, susah nak tinggalkan dosa. Jadi bersegeralah.

Memang benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Tapi jika kita tak ‘dilenturkan’ ke arah mentaati Allah, bersegeralah mulai saat ini.

InsyaAllah, moga kita berhenti dari sengaja menangguh-nangguhkan taubat dan mula bertaubat dengan sebenar-benarnya. Amin.