Wednesday, July 6, 2011

Kehilangan....Sebuah Kisah Aku


Kehilangan itu…sesuatu yang sukar dihadapi. Sesuatu yang tidak dijangka, berlaku tiba-tiba. Betapa hati ingin masa diputar semula untuk membuat sedikit perbezaan, mengharap musibah itu tidak pernah terjadi. Namun itulah dia takdir. Betapa manusia ini jahil, tidak mampu tahu setiap perkara di atas muka bumi. Betapa lemahnya kita, tidak mampu menetapkan apa yang berlaku.



Hari ini, genap 2 hari aku kehilangan anak kucing kesayangan yang dibela bersama teman serumah. Bobo namanya. Setelah melalui hari-hari menjaga, meluangkan masa bersama seperti ahli keluarga, kehilangannnya cukup terasa.




* * *
Sejak 2 hari sebelum hari ia hilang, aku mula lepaskan anak kucing di luar seketika, selama 1 jam semuanya baik; dengan aku selang beberapa kali menyelak pintu menjenguk keadaan mereka sepanjang itu.

Hari tu pun bukan aku mahu lepaskan keluar, tapi pagi-pagi lagi, Putih, seekor lagi anak kucing yang rapat dengan Bobo, tak henti-henti bising walau dah diberi makan minum; menyebabkan aku lepaskan Putih keluar, baru diam.

Masalahnya jika tinggal Bobo, Putih akan bising di luar dan Bobo akan bising di dalam memanggil satu sama lain. Jadi aku lepaskanlah kedua-duanya.

Setelah itu aku bergegas ke tandas. Keluar tandas, terdengar suara Putih dari luar rumah tak henti-henti bising malah lain macam bunyinya. Perasaanku tahu sesuatu telah terjadi, kerana Putih dan Bobo begitu erat sekali, pantang dipisah, pasti akan timbul bunyi itu.

Cepat-cepat aku buka pintu, kelihatan Putih rasa terganggu. Aku mencari-cari di mana Bobo, tak kelihatan di kawasan tangga apartmen, longkang, mahupun yang berdekatan.

Aku tahu, Bobo takkan pergi jauh. Nak katakan orang ambik, waktu tu dalam pukul 7-8 pagi, memang selalunya tak ada orang. Kalau tak, tak mungkin aku berani lepaskan.


* * *

Aku cari hingga ke beberapa blok, ke semua kawasan Bobo mungkin berlegar, di kawasan tangga hingga tingkat atas sekali (5) dan kelibatnya tak kelihatan.

Aku tanya seorang jiran yang terdekat, dia kata tak nampak. Segan nak tanya jiran lain memandangkan waktu awal pagi, masing-masing ada kesibukan, ramai juga masih tidur.

Aku memanggil-manggil Bobo, tiada sikit pun respon. Putih yang ketika itu masih bising; suaranya begitu nyaring mampu didengari sehingga ke beberapa tembok dan Bobo akan sentiasa sahut panggilannya kembali pun, tapi tidak kedengaran, apatah lagi bila aku yang panggil.

Pulang ke rumah, rakan serumah baru bangun tidur, aku terus beritahu tentang kehilangan Bobo. Rakan serumah ku itu tuan asal Bobo. Dia yang dulunya jumpa Bobo yang ketika itu masih kecil, di tepi jalan sebatang kara menagih simpati; dialah yang ambil Bobo untuk dibela.

Dengar saja berita tu, cepat-cepat dia keluar mencari Bobo, aku pun sambung cari, cuba mengetuk beberapa pintu rumah orang yang aku mungkin kenal dalam blok sama, namun tiada jawapan. Bergenang air mata rakanku mengharapkan Bobo kembali. Namun hakikat perlu diterima, Bobo sudah hilang.

* * *

Perasaan sedih campur bersalah berbaur dalam hati. Memang selama ni aku bantu rakan serumahku jaga Bobo, memandikannya, membersihkan kandangnya, menyediakan makan minumnya dengan teratur seperti kucing aku sendiri;

malah dia sendiri berharap aku boleh bawa Bobo balik ke rumahku setelah kami tiada di sini lagi memandangkan rumahnya jauh di Perak dan tak ada kereta untuk pulang ke kampung; namun hatiku berbisik andai dia akan terus menyalahkanku atas apa yang terjadi.

Tapi peristiwa itu bukan kehendakku, aku takkan melepaskan kalau bukan atas desakan keadaan; malah aku takkan lepaskan Bobo tanpa memerhati kalau bukan kerana kenal sifat Bobo takkan pergi jauh, waktu yang biasanya tiada orang dan keadaan yang selamat.

* * *
Berbagai-bagai cara aku cari bagaimana nak cari kucing yang hilang, mencari-cari artikel yang berkenaan, mencari-cari amalan doa dan zikir dalam memohon mendapatkan kembali sesuatu yang hilang, barang yang hilang dan seumpamanya.

Aku menanya sesiapa jika mereka boleh membantu, hanya mampu berbuat amal seperti yang sepatutnya; doa dan zikir, sambil setiap pagi atau bila ada kesempatan aku mencari Bobo.

Menurut seorang kawan yang boleh ramal punca kehilangan melalui tarikh hilang (ikut kalender islam), dia kata Bobo diambil orang. Menurut seorang ibu pada rakan, Bobo diambil seseorang yang putih kulitnya. Tarikh Bobo hilang adalah 3 Sha’ban 1432, Isnin. (4 Julai 2011). Entahlah, namun Allah Maha Mengetahui.

* * *

Hingga hari ini, jiwa resah mengenangkannya. Keadaan rumah yang dulunya rasa begitu bahagia sekali bila pulang, kini berbeza; lebih menyedihkan Putih tak henti-henti bising mencari Bobo yang hakikatnya sudah tiada, buat aku tak dapat berlama-lama di rumah kerana terasa begitu sedih.

Apakah masih ada harapan mendapat Bobo kembali? Apakah Bobo akan terus menghilang seperti 2 ekor kucing ku dulu; Soya dan Stella yang tak pernah ditemui setelah dicuri dari tempat yang sama?

Tak sangka ‘puaka pencuri kucing’ di apartmen kami masih tiada akhirnya. Jika lebih kurang 10 bulan dulu, Soya hilang setelah beberapa jam di luar dan Stella pula setelah hanya ½ - 1 jam pada waktu petang yang kebiasaanya memang ada orang, Bobo hilang hanya dalam 10 minit di luar pada waktu awal pagi!

Setakat ni Putih masih ada biarpun dilepas keluar setengah hari. Mungkin kerana sifatnya yang memilih makan hingga badannya kurus, bising yang terlalu kuat hingga ganggu ketenteraman; menjadi sebab dia tidak menarik untuk diambil, atau saiznya yang kecil boleh menyelit ke bawah pagar besi yang memagari meter-meter elektrik untuk elak dari diambil orang...

… berbanding Bobo yang badannya sihat bugar, bulunya yang gebu, wajahnya yang comel, tingkahnya yang ceria menghiburkan hati, tidak bising, dan sifatnya yang bahagia dengan apa yang ada…?

* * *

Aku menanam yakin pada Allah bahawa ini semua ketentuanNya, takdir yang tertulis takkan dapat dielak walau sesaat pun. Dia berkuasa berbuat apa yang Dia kehendaki.

Bayangkan, Bobo hilang tanpa dijangka, dalam keadaan aku yakin selamat, tapi dalam 10 minit saja semua berlaku.

Betapa lemahnya aku wahai Allah, sesungguhnya Kau yang Maha Mengetahui. Tidak sehelai daun pun gugur ke bumi melainkan Engkau mengetahuinya. Kau yang menentukan segala sesuatu.

Dengan musibah ini juga dapat membangkitkan aku dari kelalaian mengingati Allah setelah berhari-hari aku sibuk dengan angan-angan, perkara sia-sia; kini mampu menjauhi itu dengan lebih kerap, mendekatkan diri pada amalan-amalan sunat, zikir, doa...

…samaada dapat Bobo kembali atau tidak, semoga Allah mengurniakan kelapangan dada dan ketenangan kepada kami…dan semoga Allah mengurniakan keselamatan yang sempurna kepada kucing kami itu… sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNyalah kita akan kembali...





















In Memory of Bobo...


























... ?























# UPDATE #

Hari yang sama, lebih kurang 3 jam kemudian
(Rabu, Julai 06, 2011. 5.30 pm)

Hari ni rancang nak luang lebih masa di perpustakaan kolej. Lepas post blog, nak siapkan assignment dan keluar dari library 6 p.m., terus ke Pasar Rabu kemudian baru pulang ke apartment.

Tapi kerana mata mula berair mengantuk tak terkawal memandangkan kebiasaan dah berapa minggu tak tidur malam, bila pagi dah berjaya tak tidur, tengahari pun tak tidur, penangannya kuat di petang hari. Jadi 5 p.m. aku gerak balik apartment. “Dapat tidur sejam pun jadilah”.

Bila terlihat rumah dari jauh alangkah kosongnya rasa tanpa Bobo. Setibanya di blok, teringat Bobo, mata dengan refleks mencarinya. Tak mengharap langsung Bobo di situ, malah lagi rasa Bobo tak ada. Hati tetap mencari sebagai usaha tanpa henti.

Tiba-tiba terlihat dalam longkang kecil yang kering kelibat seekor kucing berwarna hitam pada badan hingga ke ekor, mukanya tak menghadap aku… dengan penuh tanda tanya “hitam, hitam, apakah…”, aku menghampiri kelibat kucing hitam itu…. “Bobo ke? takkan…” sekadar menyebut tanpa makna, masih tertanya-tanya tanpa harapan … dan bila aku menghampiri dekat maka itulah dia......... Bobo...! ... ada petanda aku balik awal hari ni.

* * *

Memang sebelum ni hampir pasti yang aku sudah kehilangannya sampai menulis di blog. Tapi tak disangka sebagaimana aku kehilangan Bobo, sebegitulah aku temuinya kembali. Di longkang kali terakhir aku lihat dia, itulah tempat aku jumpa dia.

Tiada orang lain di situ, hanya Bobo ditemani 2 ekor kucing dewasa luar yang selalu berlegar di kawasan blok kami. Bobo ketakutan bila aku mendekatinya; tak berapa cam aku.

Aku tangkap Bobo perlahan-lahan sambil panggil namanya, mengangkat dalam pelukan dan senyap-senyap, cepat-cepat capai kunci buka pintu rumah; bimbang orang yang curi Bobo tu berniat tinggalkan dia sekejap dan akan datang ambil balik lalu buat kecoh menyatakan tu kucing dia walhal bukan. Mana la tau

Aku masuk ke rumah dengan gembira “dah jumpa Bobo!”. Betapa gembiranya temanku lalu meluru keluar dari bilik menyambut Bobo. Aku tanya mana Putih, “tu...”, dia menunjuk; Putih tengah makan. Lega, keduanya ada.

Keadaan Bobo lebih kurus, badannya kotor dan tak terurus namun Alhamdulillah sihat dan selamat. Aku tak jadi tidur, mengantuk tak terasa pasal gembira, lepas tu terus nak update blog, kemudian keluar ke Pasar dengan teman serumah.

* * *

Sukar dipercayai. Kehilangan Bobo dan kemunculannya dalam keadaan tak disangka mengajar seribu erti. Sebagai manusia sering kita fikir mampu berbuat segala dengan kudrat sendiri, akhirnya menyedari keterbatasan diri.

Sebijak-bijak manusia, setinggi mana pun tahap pelajarannya, sebanyak mana ilmu diketahui; cukup sekadar sesuatu berlaku di sebalik hijab (dinding) yang menghalang kita dari melihat dengan mata kasar, maka dah tak mampu lagi kita tahu apa yang berlaku.

Kalau nak ikutkan, setiap perkara yang kita tahu hatta nak suapkan makanan ke mulut sendiri pun; itu semua takkan diketahui kalau bukan kerana izin Allah.

Dengan menyedari keterbatasan ini, disusuli tunduk memohon padaNya, usaha untuk yakin bahawa semua atas kekuasaanNya dan bukan di tangan kita semata-mata, barulah ditunjukkan jalan.

* * *

Sepanjang berdoa dan memohon pun tidaklah sewenangnya memikir akan dapat kembali apa yang hilang, melainkan mesti belajar sabar untuk redha atas kehilangan dan penuh tawakkal menanti tanpa mengira apa yang akan terjadi.

Amalan tetap mesti diteruskan, hati mesti sentiasa yakin pada Allah, bersedia menghadapi kemungkinan andai tidak dapat apa yang dipinta, sambil sentiasa yakin akan ganjaran di akhirat, malah di dunia lagi pun akan diganjari lebih baik, insyaAllah.

Ini berbeza sewaktu kehilangan Soya dan Stella dulu. Tanpa sabar, tanpa doa, hanya air mata mengalir meratapi takdir dan selalu memendam marah pada orang yang mencuri, sering mengharap masa diputar kembali dan selalu menjangka kalau akan nampak mereka kembali; sifat sebegini menggagalkan aku dari mendapat apa yang hilang. Jika buat cara sepatutnya pun belum tentu akan dapat, dengan cara begini apatah lagi.

* * *

Namun teringat, setelah mula menerima kehilangan Soya & Stella, rumahku lebih kerap didatangi seekor kucing yang ku beri namanya Bell; seekor kucing siam berwarna putih campuran coklat. Jika Soya kucing siam yang lebih kepada putih, Stella kucing berbelang berwarna coklat, Bell ibarat campuran kedua dari mereka dan bersaiz besar sikit dengan kedewasaanya.

Awalnya aku tak berani ambil Bell kerana tag pink berloceng di lehernya membuatku fikir Bell peliharaan orang. Namun Bell tetap selalu ke rumahku malah suka duduk di dalam, seperti layaknya kucing peninggalan yang tak bertuan lagi.

Bell itulah kucing terbaik, sifatnya tak ubah seperti Nami, kucing siam yang pernah ku bela lebih kurang 10 tahun dulu; seperti seorang manusia yang mulia dan memahami, tidak menggangu, sentiasa diam dan ada keunikan tersendiri.

Walau tak lama kemudian aku kehilangan Bell dengan kematiannya, namun kesedihan berganti redha; setidaknya tahu dia di tempat yang lebih baik dan bukannya hilang entah ke mana bimbang dianiaya.

* * *

Kisah ini bukan sebagai menambah kesedihan orang yang tidak menjumpai kucing / haiwan kesayangan atau perkara lain yang mereka hilang. Aku juga pernah gagal menemui kehilangan suatu ketika dahulu. Kisah ini sebagai harapan; dengan redha, usaha, doa dan tawakkal yang berterusan, menambah kemungkinan dapat bertemu kembali, kalau tak bertemu pun hati menjadi lebih tenang dengan ketentuan ilahi.

* * *

Kuasa Allah. Segalanya adalah milik Dia. Dia berkuasa memberi apa yang Dia kehendaki dan berkuasa mengambilnya kembali. Dia yang meletakkan setiap sesuatu itu pada tempatnya, waktunya, maka terjadilah sesuatu itu; bahawa Allah sudah menetapkan preposition setiap sesuatu..

Seperti kata orang jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan maka tidak apa yang diragui. Bukan sekadar jodoh pasangan hidup, malah apa sahaja perkara, sesiapa sahaja; semuanya dalam kadar; bila kita ditemukan dengan perkara itu, apa jenis kaitan kita dengannya, selama mana kita bersamanya, sejauh mana hubungkait kita bersamanya dan bila kita akan terpisah dengannya.

Bukan kita tidak perlu berusaha, usaha diperlukan sebahagian dari asbab, tapi pada masa yang sama akuilah kekuasan Allah mentakdirkan segala sesuatu.






TAMAT









No comments:

Post a Comment